Posted by: pantaujpa | August 22, 2008

Syarikat pekerja asing bermasalah

Dari Utusan Malaysia

 

 

PUTRAJAYA 21 Ogos – Kira-kira 60 peratus syarikat penyumberan pekerja asing di negara ini dikenal pasti sebagai syarikat bermasalah, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mahmood Adam.

Beliau berkata, pemeriksaan yang dijalankan Imigresen pada tahun ini mendapati antara masalah yang dihadapi syarikat itu ialah ia tidak wujud, tidak beroperasi atau telah ‘diali baba’ kepada pihak lain.

Sehubungan itu, katanya, perbincangan akan dijalankan dengan Jawatankuasa Penaja Persatuan Pembekal dan Pengurusan Tenaga Asing Malaysia, Isnin ini, untuk mengenal pasti punca masalah itu.

“Buat masa ini kita tidak akan mengambil tindakan ke atas syarikat-syarikat bermasalah ini, kami sebaliknya mahu mendapat maklum balas mengenai masalah yang dihadapi mereka.

“Selepas kita mengetahui masalah yang membelenggu mereka, maka kita akan syorkan kepada kementerian mengenai tindakan sesuai yang boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri dialog dengan kira-kira 300 wakil syarikat penyumberan luar pekerja asing di ibu pejabat Imigresen di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mahmood berkata, Imigresen sejak 24 Julai lalu telah menubuhkan pusat sehenti untuk mengendali pelbagai aduan dan masalah yang dihadapi orang ramai.

“Satu jawatankuasa akan memproses permohonan dan aduan berkenaan, semua urusan perlu diselesaikan pada hari yang sama selepas permohonan atau aduan diterima.

“Antara masalah yang sering dibawa kepada pusat ini ialah mengenai diskaun untuk kompaun, kehilangan dokumen perjalanan, tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan dan soal-soal Imigresen yang lain,” katanya.

Tambahnya, walaupun ditubuhkan kurang daripada sebulan, pusat sehenti tersebut telah berjaya mengendalikan lebih daripada 500 aduan dan permohonan orang ramai.

Mengenai aduan seorang wakil agensi pekerja asing bahawa terdapat pegawai Imigresen yang meminta bayaran tambahan untuk perkhidmatan yang diminta, Mahmood berkata, siasatan dalaman akan dijalankan.

“Kita tidak mahu berlaku keadaan tidak adil kepada mana-mana pihak termasuk kakitangan Imigresen. Kita perlu menyiasat perkara ini secara menyeluruh sebelum apa-apa tindakan diambil,” katanya.


Leave a response

Your response:

Categories