Posted by: pantaujpa | August 22, 2008

Bonus: Tunggu Bajet 29 Ogos

Dari Utusan Malaysia

KUCHING 21 Ogos – Kakitangan kerajaan diminta menunggu pembentangan Bajet pada 29 Ogos ini untuk mengetahui sama ada mereka akan menerima atau tidak bonus untuk tahun ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan ketika ditanya oleh media sama ada kerajaan akan membayar bonus pada tahun ini enggan memberi sebarang bayangan.

“Itu terserah kepada kerajaan. Kita sama-sama tunggu,” katanya selepas menutup Persidangan Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Malaysia, Negeri dan Pelajaran, di Santubong, dekat sini, hari ini.

Sebelum ini Cuepacs meminta kerajaan memberi bonus dan mengkaji semula kadar pemberian Elaun Kos Sara Hidup (COLA) untuk kakitangan awam pada pembentangan Bajet 2009 ini.

Mengenai penglibatan kakitangan awam berkempen dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, Mohd. Sidek berkata tindakan tegas diambil sekiranya kakitangan awam terbabit melanggar peraturan yang termaktub dalam pekeliling kerajaan.

Terdahulu, semasa berucap, beliau berkata kakitangan awam kontrak yang memohon lantikan tetap dalam perkhidmatan awam perlu diberi keutamaan jika telah memenuhi syarat skim perkhidmatan.

Beliau berkata pegawai-pegawai kontrak yang telah berkhidmat secara kontrak selama satu tahun atau lebih, mencapai tahap prestasi yang baik dengan markah Laporan Penilaian Prestasi Tahunan melebihi 85 peratus dan diperakukan oleh ketua jabatan harus diutamakan untuk diserapkan secara tetap dalam perkhidmatan awam.

“Janganlah samakan mereka ini dengan pemohon baru kerana pengalaman, pengetahuan serta kemahiran yang mereka peroleh sewaktu bekerja secara kontrak merupakan satu kelebihan dan ia harus dipertimbangkan untuk lantikan tetap,” katanya.

– Bernama

Komen

Harapnya kalau kakitangan kerajaan dapat bonus nanti, peniaga-peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang. Kesian kepada orang awam yang terpaksa hadapinya juga walau mungkin mereka sendiri tidak akan menerima bonus.

Sudah dapat bonus nanti, kerjalah dengan lebih rajin dan dedikasi sikit. Barulah berbaloi dengan bonus yang diterima.


Responses

  1. Arap2 ada bonus bajet 2009 klak. kalo boleh 2 Bulan gaji sudah memadai bagi yang bergaji rendah.


Leave a comment

Categories