Posted by: pantaujpa | August 27, 2008

408 pegawai perkhidmatan awam dibuang kerja

Dari Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Seramai 408 pegawai sektor perkhidmatan awam dan badan berkanun dibuang kerja atas pelbagai kesalahan tata tertib antara Januari hingga Jun tahun ini, kata Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Nik Noraini Nik Ya.

Beliau berkata, mereka yang terbabit adalah di dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan (PAP), Perkhidmatan Awam Negeri (PAN), Badan Berkanun Persekutuan (BBP), Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

”Selain itu, seramai 160 pegawai lagi daripada semua sektor itu turut diberikan amaran,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 19 orang turut dikenakan hukuman denda, lucut hak emolumen (76), tangguh pergerakan gaji (83), turun gaji (47) dan turun pangkat (31) bagi kesemua lima kategori perkhidmatan itu.

Katanya, jumlah itu adalah daripada 405 orang pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib sepanjang enam bulan tahun ini.

“Terdapat pegawai yang didapati bersalah dikenakan dua atau lebih hukuman,” katanya.

Katanya, bagi pertengahan tahun 2008, pegawai dalam kumpulan sokongan merupakan yang paling ramai dikenakan tindakan tatatertib iaitu seramai 365 orang atau 90.1 peratus daripada keseluruhan pegawai yang terbabit.

Katanya, pecahan kesalahan, ialah seramai 192 pegawai didapati melakukan kesalahan tidak hadir bertugas, tata kelakuan dan larangan (187 orang), kes-kes mahkamah (29 orang) serta penyalahgunaan dan pemilikan dadah berbahaya (27 orang).

Jelasnya, kesemua tindakan itu diambil mengikut Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 atau peraturan tatatertib yang digunapakai pihak berkuasa tatatertib masing-masing.

Menurut beliau, jumlah tindakan ke atas 405 pegawai itu adalah satu penurunan yang nyata berbanding 702 orang pegawai yang dikenakan tindakan dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, faktor yang menyumbang kepada penurunan tindakan tata tertib itu adalah disebabkan penekanan oleh pihak pengurusan tertinggi mengenai integriti, kesedaran dan pemahaman mengenai integriti, perkhidmatan kaunseling dan penguatkuasaan peraturan-peraturan tata kelakuan.


Leave a comment

Categories